Persaingan merebut kerusi panas kepimpinan tertinggi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi penggal 2022/2025 pada 12 Jun ini cukup menarik apabila orang lama dan baru menghiasi pertandingan tiga penjuru.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ini menyaksikan mantan presiden dari tempoh 2006 hingga 2012 iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim termasuk Nurhayati Karim tampil melengkapkan persaingan merebut kerusi nombor satu badan induk itu.

Apa pun penyandang Presiden KOM, Datuk SM Muthu, masih berharap mampu meraih sokongan majoriti untuk terus menabur bakti buat olahraga negara selepas kancah balapan negara terjejas teruk pasca COVID-19.

Justeru, Muthu yang melewati penggal pertamanya berharap dapat meneruskan inisiatifnya demi memperkasakan pencarian bakat baru di peringkat akar umbi sekali gus melahirkan wira serta wirawati baru negara.

"Sebaik dipilih sebagai presiden, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana penularan COVID-19.

"Oleh itu, kami tidak dapat capai sasaran (yang diharapkan).

"Di sebalik pencapaian lima pingat emas Sukan SEA Hanoi, pada masa depan kami perlulah meraih pencapaian yang lebih baik.

"Saya harap dapat kekalkan jawatan untuk terus membantu meningkatkan tahap sukan ini," katanya.

"Kami bercadang beri tumpuan kepada atlet muda sebab kami mengharapkan peningkatan pada masa depan.

"Kami tidak boleh terus menyenaraikan muka sama sahaja, kami perlu beri laluan kepada atlet muda untuk mendapat pengalaman agar mereka boleh memberikan (persembahan terbaik) dengan sokongan KOM," katanya.