Jawatan naib presiden menjadi tumpuan dengan 10 calon merebut lima kerusi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menjelang pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) esok.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, antara yang menawarkan diri sekali gus memberi cabaran kepada penyandang sedia ada.

"Kepimpinan baru yang akan datang perlu memberi fokus kepada penjenamaan semula PKBM dan meneruskan agenda pembangunan akar umbi bersama persatuan negeri.

"Dan meningkatkan lagi kerjasama dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dalam memastikan pencapaian kecemerlangan kami berterusan dan misi pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024 buat Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom tercapai," kata calon naib presiden PKBM, Firdaus Arshad.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, sebelum ini menang tanpa bertanding dan melebarkan rekod sebagai presiden persatuan sukan paling lama di Malaysia iaitu sejak 1990.