Barcelona mengumumkan bahawa pertahanan mereka, Jordi Alba, diuji positif COVID-19.

Bek kiri itu kini sedang menjalani pengasingan dan kelihatan tidak dapat menyertai kunjungan Barca ke laman Mallorca bagi aksi LaLiga hujung minggu ini.

Pemain berusia 32 tahun itu menjadi pertahanan ketiga Barca terpaksa diketepikan kerana dijangkiti koronavirus selepas Dani Alves dan Clement Lenglet.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Barca berkata: "Pemain pasukan utama, Jordi Alba, diuji positif COVID-19 dan tidak dapat menyertai sesi latihan di Ciutat Esportiva Joan Gamper.

"Pemain itu berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani pengasingan di rumahnya. Kelab ini telah melaporkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa yang relevan.

"Dia akan diketepikan bersama Clement Lenglet dan Dani Alves, yang turut diuji positif COVID-19."

Ketua jurulatih, Xavi, kini perlu mencari jalan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alba dalam usahanya melonjakkan Barca daripada kedudukan ketujuh kepada kelompok empat teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Hanya Sergio Busquets, Marc-Andre ter Stegen, Memphis Depay dan Frenkie de Jong mempunyai minit permainan lebih banyak berbanding Jordi Alba dalam kesemua kejohanan musim ini, di mana 1,526 minit aksinya setakat ini sudah cukup untuk membuktikan betapa pentingnya peranan pemain itu.