Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menumbangkan pemenang pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam penampilan pertamanya selepas berehat 15 bulan kerana pembedahan jantung.

The Pocket Rocketman meraih tempat keempat dalam saringan kedua acara kerin, Liga Juara-Juara UCI di Velodrom Balears di Mallorca, Sepanyol awal pagi tadi.

Pelumba muda Perancis, Ryan Helal, antara yang menjadi mangsa Azizulhasni dalam perlumbaan berkenaan, di mana dua pelumba Australia, Matt Richardson dan Thomas Cornish, meraih penamat satu-dua.

Helal merupakn pemenangan pingat gangsa acara pecut berpasukan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia 2019.

Azizulhasni turut mengatasi pelumba Poland, Mateusz Rudyk.

Ia membuktikan legenda sukan berbasikal trek negara itu berada di landasan tepat untuk mencapai prestasi terbaiknya dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Keputusan itu sudah cukup untuk mengembirakan ketua jurulatih skuad negara, John Beasley.

"Kami amat gembira dengan acara keirin, dia bermula dengan kelihatan amat baik dan melakukan taktikalnya dngan amat baik," kata Beasley kepada Nadi Arena.

"Dengan berlumba selepas menjalani pembedahan jantung dan berehat selama 15 bulan, saya amat kagum dengan persembahannya hari ini."

Selain keirin, Azizulhasni turut beraksi dalam acara pecut, di mana dia menamatkan pusingan pertama di tempat kedua.