Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, memperoleh kemenangan pertama ketika berdepan wakil Perancis, Bryce Leverdez, dalam saingan Kejohanan Badminton Dunia BWF, sebentar tadi.

Hadir ke dalam saingan yang berlangsung di Gymnasium Tokyo Metropolitan, menyaksikan Zii Jia berdepan lawan yang menghuni di ranking ke-40, Leverdez.

Berjaya menyesuaikan diri dengan gelanggang di awal permainan, Zii Jia tenang memimpin set pertama dengan penuh bergaya apabila memastikan kemenangan 21-9.

Leverdez berusaha bagi menandingi Zii Jia di awal set kedua, namun deretan pukulan berkualiti daripada Zii Jia memastikan wakil negara itu berjaya melangkah ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-13.

Terdahulu, pemain pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Ng Tze Yong, berjaya mengawal perasaan gemuruh beraksi buat pertama kali di kejohanan dunia dengan mengatasi Chico Aura Dwi Wardoyo 21-16 DAN 21-10.


Sementara itu, Liew Daren gagal terus kemaraan selepas tewas mudah kepada pilihan pertama, Viktor Axelsen dari Denmark.

Daren yang dikatakan dipalit kecederaan lutut tewas 21-16, 21-12 dalam tempoh 42 minit.

Set pertama Daren memberi tentangan sehingga kedudukan 16-16 namun langkahnya terhenti apabila Axelsen mengutip empat mata akhir berturut-turut untuk menang set pertama.

Set kedua pula menyaksikan Daren tidak bertenaga dan pergerakan atas gelanggang juga terbatas kerana kecederaan, justeru menyerah mudah kepada Axelsen.