Pemain tengah remaja Barcelona, Gavi, bersetuju untuk melanjutkan kontrak di Camp Nou sehingga 2026, demikian disahkan kelab Catalan itu malam tadi.

Kontrak baru pemain itu turut merangkumi klausa pelepasan bernilai €1 bilion (RM4.5 bilion) -- nilai sama yang turut termaktub dalam kontrak Pedri, Ansu Fati, Ronald Araujo dan Ferran Torres.

Barca sudah lama merancang untuk melanjutkan kesepakatan baru dengan pemain berkenaan, di mana kontrak asalnya akan tamat pada 2023 tetapi beberapa faktor lain menyaksikan hasrat itu tertunda.

Pemain bawah umur 18 tahun di Sepanyol tidak boleh menandatangani kontrak melebihi tiga tahun dan disebabkan itu, Barca perlu menunggu Gavi melepasi had umur berkenaan pada bulan lalu untuk mengikat kesepakatan lebih panjang.

Kelab itu juga perlu menyediakan ruang gaji dalam had perbelanjaan mereka dalam LaLiga untuk mendaftarkan pemain baru.

Menurut sumber media antarabangsa, perpindahan Miralem Pjanic ke Sharjah FC minggu lalu telah membolehkan mereka melengkapkan terma baru buat Gavi untuk kekal beraksi dalam LaLiga.