Raja pecut negara, Haiqal Hanafi, tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 100 meter Sukan SEA Manila 2019 apabila tidak melepasi had kelayakan ke temasya itu dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil hari ini.

Haiqal, 23, mengungguli acara berkenaan tetapi sekadar mencatatkan 10.58 saat -- kurang 0.06 saat untuk layak secara merit ke Sukan SEA Hanoi, Mei depan.

Ia menyaksikan peluangnya untuk ke temasya itu sudah tertutup memandangkan Terbuka Malaysia merupakan pentas terakhir bagi memburu slot kelayakan.

Haiqal, dalam satu temu bual Astro Arena, bagaimanapun berpuas hati dengan persembahannya selepas beberapa tahun tidak beraksi secara kompetitif.

"Bagi saya, ia satu penilaian yang agak baik selepas beberapa tahun saya tidak menyertai kejohanan.

"Alhamdullilah, saya dapat melakukan 10.58 saat, ia masih dalam sasaran saya," katanya.