Juventus menyempurnakan pembelian Dusan Vlahovic daripada Fiorentina dengan bayaran €70 juta (RM327j).

Penyerang berusia 22 tahun itu bersetuju dengan tawaran empat setengah tahun untuk menyertai Bianconeri dan telah selesai menjalani ujian perubatan.

Juve akan membayar ansuran yuran itu selama tiga tahun selain kos tambahan sebanyak €11.6j (RM54.19j).

€10j (RM46.71j) lagi perlu dibayar kepada Fiorentina sekiranya Vlahovic memenuhi objektif tertentu.





Vlahovic merupakan penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan 17 gol daripada 21 penampilan untuk menyamai jumlah jaringan penggempur, Lazio, Ciro Immobile.

Dia telah dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah berikutan prestasi mengagumkannya sejak dua musim lalu.

Vlahovic menyertai pasukan Juve pimpinan Massimiliano Allegri itu yang sedang bergelut di depan gawang apabila hanya 34 kali menemui sentuhan pemusnah dalam 23 perlawanan Serie A.

Ini bermakna jentera serangan mereka di kedudukan ke-11 liga, jauh di belakang penjaring terbanyak, Inter (53), manakala Fiorentina telah mengumpul 41 gol setakat ini.

Pemain antarabangsa Serbia itu berkelana ke La Viola daripada Partizan pada 2018 dan telah melakar 28 gol sejak awal musim lalu -- terbanyak berbanding pemain lain dalam Serie A.

21 jaringannya sepanjang 2020-21 adalah yang tertinggi dicatatkan oleh mana-mana pemain Fiorentina dalam satu kempen sejak Alberto Gilardino melakukannya pada 2008-09 (25).

Vlahovic juga menyumbangkan 33 gol untuk menyamai rekod Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak liga utama Itali sepanjang 2021.

Minggu lalu, Ketua Eksekutif Fiorentina, Joe Barone, mengesahkan kelab itu sedia melepaskan Vlahovic yang tersisih ketika mereka seri dengan Cagliari, Ahad lalu, berikutan positif COVID-19.

Ketibaan Vlahovic di Turin mungkin membuka jalan kepada Alvaro Morata untuk meninggalkan Juve dengan Barcelona dilaporkan berminat menandatangani pemain antarabangsa Sepanyol itu yang dipinjam daripada Atletico Madrid.