Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, berbangga apabila rekod acara pecut 100 meter kebangsaan yang sebelum ini dipegangnya dipecahkan oleh Azeem Fahmi dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia awal pagi tadi.

Dalam Sukan Malaysia di Kuching, Sarawak pada 2016, Khairul Hafiz memecahkan rekod 18 tahun milik Watson Nyambek apabila memenangi pingat emas dengan catatan masa 10.18 saat.

Bagaimanapun, rekod itu hanya bertahan selama enam tahun apabila Azeem, 18, melakukan catatan masa 10.09 saat dalam pusingan saringan di Cali.

Khairul Hafiz, dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, memaklumkan bahawa dia berbangga dengan pencapaian pelari remaja berkenaan, yang turut digelar "Usain Bolt Malaysia".

"Alhamdulillah, Azeem telah memecahkan rekod saya.

"Saya amat berbangga dengannya kerana kita tahu ujian yang dihadapinya ketika dibatalkan penyertaan dalam Sukan SEA (Vietnam) lalu dan kini dia telah membuktikan kepada semua bahawa dia boleh melakukan yang terbaik.

"Saya dapat rasakan yang dia boleh melakukan yang lebih baik kerana itu baru saringan dan dia dapat melakukan 10.09 saat.

"Saya rasa dia dapat melakukan dalam 9.9 saat kerana pada 50 meter terakhir, dia sudah memperlahankan lariannya.

"Jadi saya harapkan Azemm akan dapat melakukan catatan masa yang lebih baik selepas ini," katanya.