Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, terbuka untuk kembali ke bekas kelab, Lyon, apabila menjelaskan bahawa dia sedang berbincang dengan banyak kelab sebelum kontraknya tamat.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu juga masih berhajat beraksi di peringkat tertinggi Eropah musim depan dan mengintai perpindahan ke kelab Liga Juara-Juara (UCL) selepas gagal membuat sebarang penampilan dalam pertandingan itu sepanjang bersama The Gunners.

Lacazette telah membuat 25 kemunculan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tatkala pasukan bimbingan Mikel Arteta itu mengejar kedudukan empat terbaik tetapi nampaknya akan menamatkan tempoh lima tahunnya di utara London tanpa mencapai impiannya sebaik perjanjiannya tamat pada akhir Jun depan.

Pemain Perancis itu hanya menyumbang empat gol liga musim ini tetapi mengetuai senarai bantuan jaringan The Gunners iaitu sebanyak tujuh kali dan berkata dia mempunyai banyak pilihan.

Lacazette berkata Lyon, yang ditinggalkannya ketika menuju ke London pada 2017, mungkin termasuk dalam kalangan itu sambil melahirkan rasa kesal kerana generasi pemain berbakat Perancis termasuk dirinya dan Corentin Tolisso, telah meninggalkan kelab berkenaan serentak.

"Saya sedang berbincang dengan banyak kelab," katanya kepada Canal Plus.

"Saya tidak pernah memutuskan hubungan dengan Lyon sejak saya pergi. Saya cuba kembali ke kelab itu sekali atau dua kali setahun untuk berjumpa semula dengan kakitangan perubatan kerana kami sangat rapat. Jadi ya, sekarang Lyon tahu bahawa saya akan bebas kontrak, mereka telah membuat tawaran.




"Memang bagus, tetapi bukan hanya saya sahaja yang akan memuktamadkannya. Memang benar ia agak menyedihkan dan memalukan kami semua angkat kaki pada masa yang sama, kelab mungkin tersilap langkah."

Bagaimanapun, Lacazette turut menekankan hasratnya untuk beraksi di pentas UCL dan membayangkan ketiadaan bola sepak Eropah boleh menjadi batu penghalang kepulangannya ke Lyon memandangkan mereka menduduki tempat ke-8 Ligue 1 dengan hanya berbaki enam perlawanan.

“Saya mahu beraksi dalam kancah Eropah, saya juga sudah lama tidak bermain dalam UCL jadi saya merinduinya,” tambahnya.

"Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini tetapi ia pasti lebih rumit (tanpa bola sepak Eropah)."

Lacazette terpaksa diketepikan ketika ini kerana positif COVID-19 yang menyaksikan Arsenal mengalami kekalahan ketiga berturut-turut EPL dan akan menentang Southampton, hujung minggu ini, dalam usaha kelab London itu menghidupkan semula harapan untuk menguasai kelompok elit.