Presiden Barcelona, Joan Laporta, menafikan bahawa kelab itu sudah bersetuju untuk menerima tawaran daripada Manchester United bagi mendapatkan pemain tengah, Frenkie de Jong.

Pengurus United, Erik ten Hag, berminat untuk kembali mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu, yang pernah diuruskannya sewaktu di Ajax, dan United juga sedang berusaha untuk mendatangkan pemain kebangsaan Belanda berkenaan ke Old Trafford.

Situasi kewangan di Barcelona kelihatan menjadi sebab pasukan Catalan itu berkemungkinan akan menjual pemain berkenaan, di mana terdapat laporan bahawa mereka sudah bersetuju untuk menerima tawaran daripada kelab EPL itu tetapi De Jong sendiri kelihatan masih belum tertarik untuk berpindah.

Dakwaan itu segera dinafikan Laporta, yang mendedahkan kepada ESPN bahawa masih tiada sebarang tawaran yang dipersetujui pihaknya untuk melepaskan De Jong.

"Frenkie de Jong masih pemain kami, kami benar-benar menggemarinya.

"Kami mendapat beberapa tawaran untuk Frenkie tetapi kami masih belum bersetuju menerimanya buat masa ini kerana kami masih mahu berbincang dengannya mengenai apa yang benar-benar dimahukannya.

"Kami perlu mendapatkan beberapa penjelasan dalam beberapa aspek mengenai situasinya," katanya.