PERANCIS 1 DENMARK 2

Andreas Cornelius menjaringkan dua gol dalam babak kedua untuk memastikan Denmark mengejutkan pasukan juara bertahan, Perancis, dengan kemenangan 2-1 dalam aksi pertama Liga Negara-Negara Eropah di Paris awal pagi tadi.

Selepas kedua-dua pasukan gagal menemui jaringan sepanjang babak pertama, Karim Benzema memecahkan kebuntuan itu untuk meletakkan Perancis di depan pada minit ke-51 di Stade de France -- tempat sama di mana dia menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Real Madrid enam hari lalu.

Bagaimanapun, jaringan itu masih belum cukup menjamin kemenangan mereka apabila Denmark bangkit menjaringkan dua gol menjelang ke penghujung permainan.

Penyerang Trabzonspor, Cornelius, memanfaatkan sepenuhnya umpanan Pierre-Emile Hojbjerg untuk menewaskan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris, pada minit ke-68.

Pemain gantian itu sekali lagi menemui sasaran berselang 20 minit untuk mengejutkan Perancis, yang turut kehilangan Kylian Mbappe dalam babak pertama gara-gara kecederaan.

Dengan kemenangan itu, Denmark menyertai Austria -- yang menewaskan Croatia 3-0 dalam satu lagi perlawanan -- di dua kedudukan teratas Kumpulan A1.