Pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa, muncul pemenang peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 apabila menungguli perlumbaan basah sejauh 157.3 kilometer dari Kuala Pilah ke Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur hari ini.

Pelumba Russia berusia 22 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 43 minit dan 43 saat meninggalkan pelumba Uno-X Pro Cycling, Erlend Blykra, di tempat kedua manakala Max Kanter daripada pasukan Movistar pula merupakan pelumba ketiga terpantas ke garisan penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Syritsa menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan jersi hijau selaku Raja Pecut dengan mengumpul 15 mata.

Pelumba kebangsan, Zhe Yie Khee, pula menjadi pelumba terbaik negara dengan menduduki tangga ke-61.

Dalam pada itu, dua pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG), Jambaljamts Sainbayar dan Nur Aiman Zariff pula mendominasi saingan Raja Bukit apabila masing-masing mengutip 15 dan 11 mata yang ditawarkan.

Sainbayar menakluk dua zon pecutan di Rembau dan Senawang serta dua zon pendakian di Senaling dan Tekali untuk dinobatkan sebagai pelumba terbaik Asia (jersi putih) dan menyarung jersi Merah selaku Raja Bukit.