Petanda positif selepas sesi latihan pendakian ke Genting Highlands pada Khamis mencetuskan keyakinan besar kepada pasukan kebangsaan Malaysia untuk tampil menyerlah pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bulan depan.

Sesi latihan pendakian ke Genting Highlands itu amat penting kerana laluan tersebut dianggap bakal menjadi penentu nasib barisan pelumba negara dalam senarai kedudukan keseluruhan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, beliau lega apabila skuad kebangsaan mampu 'mendaki' puncak Genting Highlands selepas mendapat kebenaran daripada pengurusan Resort World.

“Sebenarnya bukan mudah mendapat persetujuan Resort Word berlatih di Genting. Seperti yang kita tahu, nasib sesebuah pasukan atau pelumba itu akan cerah jika mampu menawan Genting Highlands.

“Berdasarkan laporan pengurus (Ezral Ezwani Ab Malik) dan penyelaras pasukan (Norazman Abu Samah), saya dimaklumkan semua pelumba termasuk Dr Norhasmat (Abd Aziz) tunjukkan prestasi baik ketika mendaki Genting Highlands.

“Genting Highlands bukan calang-calang pendakian. Jadi, saya gembira dengan laporan awal pendakian ke Genting Highlands. Nampak ada petanda positif,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Abu Samah turut percaya, rentak kayuhan dan kualiti pendakian barisan pelumba negara akan lebih terserlah pada sesi latihan pendakian kedua ke Genting Highlands pada 6 Oktober ini.

“Saya difahamkan jurulatih (Amir Mustafa Rusli) telah susun strategi hasil sesi latihan pendakian pertama semalam. Saya percaya Amir akan lebih memahami kualiti pelumbanya selepas sesi latihan kedua nanti,” ujarnya.

Malah, beliau percaya kejayaan beraksi baik di Genting Highlands membolehkan pasukan kebangsaan Malaysia berada pada kelompok 15 teratas pada edisi LTdL kali ini.

Senario itu berdasarkan perkembangan LTdL 2022 selepas menerima pengesahan penyertaan enam pasukan World Tour - UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

“Secara jujurnya, kedudukan kelompok 15 teratas sudah dianggap sangat tinggi kerana penampilan enam pasukan World Tour. Kita hanya berstatus pasukan kebangsaan, namun saya percaya Malaysia akan mampu pergi lebih jauh jika menyerlah di Genting Highlands,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norazman berkata, pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tamat sesi latihan di Genting Highlands pasti memberi keyakinan tinggi kepada pelumba negara.

“Yang di-Pertuan Agong memberikan kata-kata semangat kepada semua pelumba negara. Saya percaya mereka tahu apa yang hendak dilakukan selepas terima kata-kata semangat daripada tuanku,” katanya.

Pada LTdL kali ini, Malaysia diperkuat duo berpengalaman - Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri selain adik beradik kembar, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

Turut menggalas cabaran Malaysia ialah Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Kee Zha Yie serta dua pelumba simpanan - Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km), Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km), Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km) dan Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km).

Saingan diteruskan di Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km), Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km), Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km) membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.

Kredit: Sinar Harian