Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abd Jalil, berbangga dengan pencapaian pelari sensasi muda, Azeem Fahmi, yang muncul pelari kelima terpantas dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pagi tadi.

Azeem terdahulu memecahkan rekod 100 meter kebangsaan selepas melakukan larian dengan catatan masa 10.09 saat dalam saringan kelapan kejohanan itu.

Dia kemudian menamatkan aksi final di tempat kelima dengan catatan 10.14 saat.

Seperti yang dijangkakan, Letsile Tebogo dari Botswana (9.91s) menjadi tumpuan apabila melepasi garisan penamat dengan rekod baru di peringkat remaja.

Pelari Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie, pula membawa pulang perak sementara wakil Afrika Selatan, Benjamin Richardson (10.12s), mengetepikan pemenang pingat emas Asia Tenggara tiga kali, Puripol Boonson, dengan jurang kecil untuk memenangi gangsa.

Manshahar bagaimanapun berbangga dengan pencapaian yang diraih Azeem sambil memberikan bayangan untuk pelari berusia 18 tahun itu meneruskan latihannya di luar negara dan di bawah bimbingan jurulatih bertaraf dunia.

"Yang pertama, saya mengucapkan tahniah kepada Azeem dan jurulatihnya kerana memecahkan rekod kebangsaan," katanya kepada Nadi Arena.

"Pada saya, pencapaiannya itu merupakan sesuatu yang sangat hebat.

"Ia munjukkan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat untuk dipertaruhkan di peringkat dunia.

"Azeem telah membuktikan bahawa pencapaiannya itu telah membanggakan seluruh rakyat Malaysia, terutama peminat olahraga.

"Itulah perancangan kami, (menghantar Azeem ke luar negara). Saya bersama MACE (Edukasi dan Karier Atlet Malaysia) telah membuka peluang dan ruang buat Azeem.

"Bapa dan jurulatihnya juga bersama dalam perbincangan itu, termasuk wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan negara (ISN).

"Kami telah berbincang dan merancang di mana Azeem sepatutnya berada tetapi ia bergantung kepada keputusan Azeem dan keluarganya," katanya.