Mikel Arteta menyeru Arsenal bangkit daripada kemerosotan prestasi apabila melawat Chelsea awal pagi esok.

Arsenal kalah 0-1 di Southampton Sabtu lalu untuk kekalahan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut, kali ketiga di bawah Arteta dalam tiga tempoh musim.

Ia meletakkan The Gunners menyamai pungutan mata Manchester United dan tiga mata di belakang Tottenham yang menguasai tangga keempat.

Walaupun pengurus dari Sepanyol itu mengakui hampa dengan keputusan kurang memberangsangkan anak buahnya baru-baru ini, dia menegaskan hasrat Arsenal kekal utuh untuk kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

"Di kelab ini, ia hanya mengenai kemenangan dan ia adalah tiga perlawanan berbeza tetapi dengan keputusan yang sama," katanya kepada pemberita malam tadi.

"Kami sangat tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan itu. Kami menyedarinya, kami berasa sakit hati tetapi pada masa yang sama kami tahu punca kekalahan kami dan apa yang kami capai daripada perlawanan berkenaan tidak mencerminkan mata yang dipungut.




"Kami juga perlu memahami mengapa kami kalah tetapi tiada apa yang perlu diungkit kembali. Peluang masih terbentang, cita-cita kami masih utuh, keinginan kami masih teguh.

"Kami tahu cabaran yang menanti dan kami sedia menyahutnya.

“Kami perlu berada di tahap terbaik untuk berdepan pasukan terbaik di Eropah dan tahun lalu mereka telah membuktikan apa yang boleh dilakukan dengan segala sumber yang mereka ada selain keupayaan yang kami sendiri miliki."