ARSENAL 2 WOLVERHAMPTON WANDERERS 1

Nicolas Pepe masuk daripada bangku pemain simpanan untuk memacu kebangkitan dramatik ketika Arsenal mengatasi Wolves 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Hwang Hee-chan terlebih dahulu memanfaatkan kesilapan Gabriel Magalhaes untuk menamatkan kemarau golnya dalam 10 perlawanan dan meletakkan Wolves di depan pada minit ke-10.

Pasukan pelawat itu kemudian mengubah rentak permainan dan memilih untuk lebih bertahan.

Keadaan itu jelas menyukarkan The Gunners tetapi Pepe, yang dimasukkan bagi menggantikan Gabriel Martinelli pada minit ke-71, menjaringkan gol penyamaan Arsenal hanya selepas 11 minit beraksi.

Pepe kemudian bergandingan dengan Alexandre Lacazette untuk mendapatkan gol kemenangan Arsenal, yang hadir daripada jaringan sendiri Jose Sa dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan pasukan bimbingan Mikel Arteta berkenaan hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat, Manchester United, dan mereka juga memegang kelebihan dua perlawanan dalam tangan.