Karim Benzema tidak akan dikecualikan untuk terpilih mewakili Perancis walaupun dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama setahun, semalam, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet.

Penyerang Real Madrid itu juga didenda €75,000 (RM355,569) selepas didapati bersalah kerana bersubahat dalam cubaan memeras ugut bekas rakan sepasukan Les Blues, Mathieu Valbuena.

Benzema, yang sentiasa menafikan tuduhan itu dan tidak hadir di mahkamah di Versailles ketika keputusan tersebut dibacakan, berhasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Kes itu bermula pada Jun 2015 apabila Benzema dikatakan telah memberi tekanan kepada Valbuena supaya membayar peras ugut dalam usaha mengelakkan satu pita seks daripada didedahkan.

Berikutan skandal itu, Benzema dan Valbuena -- yang kini beraksi untuk kelab Greece, Olympiacos -- digugurkan daripada pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, penyerang yang di kemuncak prestasi itu -- yang telah dipanggil semula untuk membarisi Perancis, awal tahun ini menjelang Euro 2020 selepas tersisih enam tahun –- telah menjadi nadi buat pasukan Didier Deschamps berkenaan.

Pemain berusia 33 tahun itu akan terus kekal mewakili Les Blues bagi perlawanan pada Mac 2022.

"Saya tidak tahu apa-apa tentang apa yang akan diputuskan oleh Karim dan peguamnya tetapi setakat ini, tiada perubahan di peringkat FFF," kata La Graet seperti yang dipetik daripada L'Equipe.

"Dia tetap boleh tersenarai di sebalik kekesalan terhadap rekod malang ini. Dia pernah tidak dapat bermain untuk Perancis selama beberapa tahun. Sekatan ini tidak akan mengubah apa-apa pendirian saya.

"Dia masih boleh tersenarai. Walaupun dia tidak mengemukakan rayuan sekalipun tetapi bagi saya, ia tetap tidak mengubah apa-apa. Dia mempunyai hak untuk beraksi."