Olivier Giroud mendedahkan dia dan Didier Deschamps perlu bersedia untuk berbincang mengenai masa depannya bersama Perancis.

Tumpulan kembali beralih kepada Giroud minggu ini selepas penggempur Real Madrid, Karim Benzema, terpaksa menarik diri untuk perlawanan persahabatan menentang Ivory Coast dan Afrika Selatan atas sebab kecederaan.

Giroud turut menonjol bersama Milan musim ini tetapi usaha pemain berusia 35 tahun itu belum memadai untuknya meyakinkan pengendali Les Bleus tersebut.

Panggilan lewat ini memberi bayangan Giroud mungkin terlepas Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun ini.

Dengan 11 gol, bekas penyerang Chelsea dan Arsenal itu merupakan penjaring paling berbisa pendahulu Serie A, Milan.

Penampilan terakhirnya bersama Perancis adalah sebagai pemain gantian ketika seri 3-3 dengan Switzerland dalam Euro 2020 Jun lalu disusuli tersingkir melalui sepakan penalti di peringkat 16 sekali gus gagal menetapi ramalan sebagai pasukan pilihan.





“Ia bukan mudah untuk ditelan tetapi saya menghadamnya dan saya rasa ia dapat dilihat dalam persembahan saya bersama AC Milan,” katanya dalam akhbar Perancis, Le Parisien.

"Kami memang merancang untuk berbincang."

Giroud berkata panggilan daripada Deschamps pada Sabtu lalu menawarkan kegembiraan buatnya. Dia hanya ketinggalan lima gol di belakang rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak juara Piala Dunia 2018 itu selepas menyumbangkan 46 gol dalam 110 perlawanan dan masih berpeluang untuk menokok angka berkenaan.

Perancis akan melayani Ivory Coast di Marseille Sabtu ini sebelum menentang Afrika Selatan di Lille, Rabu depan.

“Saya sudah bersedia untuk mencurahkan sumbangan saya buat pasukan Perancis berdasarkan peranan yang ditetapkan oleh jurulatih,” katanya.

"Satu perkara yang pasti: keazaman saya untuk menghadiahkan sesuatu kepada Les Blues tetap utuh."