Karim Benzema akan terlepas saingan Piala Dunia Qatar 2022 selepas penyerang Perancis itu mengalami kecederaan sehari sebelum kejohanan itu membuka tirai malam ini.

Kapten Real Madrid itu, yang tidak bersama Les Bleus ketika bergelar juara dunia di Russia pada 2018, pada awalnya dijangka akan memainkan peranan besar buat skuad asuhan Didier Deschamps berkenaan dalam edisi kali ini.

Benzema memenangi Anugerah Ballon d'Or bulan lalu selepas melewati musim 2021-22 dengan penuh gemilang, di mana dia menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan bersama Madrid dan membantu pasukan gergasi Sepanyol itu memenangi LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bagaimanapun, dia kerap terganggu dengan masalah kecederaan musim ini dan paling menyedihkan buat pemain 34 tahun itu adalah dia mengalami kecederaan sehari sebelum majlis pembukaan Piala Dunia.

Benzema hanya dapat menyertai latihan penuh Perancis semalam selepas mengalami masalah otot tetapi dia tidak dapat menamatkan sesi itu kerana kecederaan.

Dia kemudian menjalani pemeriksaan sebelum disahkan terpaksa disisihkan daripada kejohanan itu.

Persekutuan Bolasepak Perancis berkata dalam satu kenyataan: "Karim Benzema terpaksa menarik diri daripada Piala Dunia kerana kecederaan paha. Seluruh pasukan ini dapat rasakan kekecewaan Karim dan mendoakannya agar segera sembuh."