Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, enggan mengambil risiko untuk mempertaruhkan beberapa tonggak utamanya dalam perlawanan pertama Piala Harapan menentang Kedah Darul Aman di Stadium Negeri Pulau Pinang, malam esok.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu berasakan pemain seperti Faisal Halim, V. Ruventhiran dan Mukhairi Ajmal mahu pun Ahmad Khuzaimi Piee perlu diberi ruang dalam perlawanan pra-musim kali ini.

Ia memandangkan mereka telah mengharungi jadual padat musim lalu kerana mempunyai tugasan kebangsaan dalam Piala AFF 2022.

"Daripada segi persiapan, perlawanan ini terlalu dekat buat mereka.

"Mereka baru pulang daripada skuad kebangsaan dan diberi cuti seminggu sahaja.

"Sudah tentu perlawanan esok sebahagian daripada mereka tidak akan berada dalam kesebelasan utama.






"Kami akan menilai lagi tahap kecergasan mereka dalam sesi latihan hari ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Cheng Hoe juga berhasrat menekankan elemen kesihatan minda dalam kalangan pemainnya agar misi di atas padang tidak terjejas.

"Saya selalu menasihati kepada pemain dan setiap daripada mereka akan diberi peluang dalam pra-musim ini.

"Kami agak risau juga dengan isu kecederaan tapi kami akan terus pantau tahap kecergasan pemain dalam setiap perlawanan.

"Dalam masa sama, emosi pemain sentiasa perlu dikawal, baik dalam perlawanan sebenar dan persahabatan.

"Kadang-kadang ia juga boleh menjejaskan semangat berpasukan," katanya lagi.

Piala Harapan turut menemukan tuan rumah, Penang dengan Geylang International, malam ini bagi satu lagi penentuan final.