Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, gembira apabila meraih pingat perak acara keirin dalam Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta semalam.

Selepas hampir setahun menjalani pembedahan jantung, The Pocket Rocketman kini sudah menghampiri prestasi terbaiknya, di mana kejayaan itu turut memberikannya mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Aksi final itu juga menyaksikan Azizulhasni hanya ketinggalan sedikit di belakang pemenang emas dan juga juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

"Pingat untuk hari ini, pingat perak, Alhamdulillah, syukur," katanya kepada Astro Arena.

"Walaupun pingat ini tidak sebesar seperti dalam Sukan Olimpik, untuk mendapatkannya memang amat sukar.

"Ia hari yang panjang dan sukar tetapi Alhamdulillah, Syukur."

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, turut beraksi dalam final yang sama tetapi berdepan kemalangan pada penghujung perlumbaan.