Lock Perancis, Paul Willemse, berkata kejayaan pasukannya menewaskan Wales dalam Kejohanan Ragbi Enam negara di Stadium Principality awal pagi tadi merupakan satu usaha keras yang sentiasa dijangkakan daripada Les Bleus.

Hanya tiga mata terhasil dalam babak kedua dan tiada sebarang try dicipta sepanjang setengah jam terakhir selepas penalti daripada Melvin Jaminet pada minit ke-46 memberikan kelebihan buat Perancis.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Perancis dalam carta Kejohanan Enam Negara dengan himpunan 116 mata dan hanya melepaskan 60 mata selepas empat perlawanan.

Mereka mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus sepanjang tempoh itu dan berpotensi memperoleh Grand Slam menjelang perlawanan menentang England di Stade de France minggu depan.

Bercakap kepada BBC One selepas perlawanan itu, Willemse berkata: "Kami bersiap sedia selama seminggu dengan menyedari bahawa ini akan menjadi antara perlawanan paling sukar musim ini.

"Kami amat gembira dengan keputusan ini. Walaupun ia bukanlah perlawanan yang sempurna, ia sudah dijangkakan daripada pasukan seperti Wales.

"Kami perlu memperbaiki perkara asas. Berdisiplin, lebih selamat ketika kami keluar daripada kawasan kami kerana mereka kerap memerangkap kami daripada situasi itu.

"Sudah pasti banyak yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan minggu depan dan saya yakin kami dapat melakukannya," katanya.

Walaupun menyedari kekurangan pasukannya, tonggak Perancis itu memuji perwatakan dan persefahaman pasukannya dalam perlawanan itu.

"Anda dapat melihatnya di atas padang, anda dapat melihatnya sepanjang minggu ini, anda dapat melihatnya dalam perlawanan-perlawanan kami.

"Ini adalah pasukan yang amat luar biasa dan kuat untuk disertai dan saya amat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripadanya kerana saya fikir kami mampu melakukan perkara yang besar," katanya lagi.