Atlet olahraga para negara, Ridzuan Puzi dan Nasharuddin Mohd, gagal menempatkan diri dalam kelompok podium apabila tewas dalam acara masing-masing dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 yang berlangsung di London.

Dalam aksi yang berlangsung pada awal pagi tadi, Nasharuddin terlebih dahulu turun beraksi dalam final acara 400 meter T20.

Nasharuddin, yang mencatatkan 50.03 saat dalam aksi kelayakan kelmarin, gagal memperbaiki catatannya apabila sekadar melakukan 50.69 saat untuk berada di tangga kelima.

Perlumbaan dimenangi pelari Brazil, Daniel Martins, yang mencipta rekod baru kejohanan, 47.66s, dengan perak dimenangi oleh Damien Carcelen dari Equador dan pelari Sepanyol, Rodriquez Ramirez meraih gangsa.

Menyusul selepas itu, pemenang emas 100m T36 Sukan Paralimpik 2016, Ridzuan, beraksi dalam acara 200m.

Diletakkan antara pilihan utama, Ridzuan, bagaimanapun, gagal memberikan saingan sengit apabila menamatkan perlumbaan di tangga keempat dengan catatan 25.21 saat.

Emas diraih oleh pelari Australia, James Turner, yang memecah rekod dunia dengan catatan 20.05s. Perak pula milik pelari Poland, Krzystof Ciuksza dan Parreira Da Silva dari Brazil meraih gangsa.