Robert Lewandowski berjanji untuk meletakkan Barcelona kembali digeruni dan percaya The Blaugrana sudah terlalu lama menunggu untuk menjulang trofi.

Penyerang itu, yang melengkapkan perpindahan daripada Bayern Munich bulan lalu, membuat penampilan sulungnya untuk gergasi Catalan berkenaan ketika menentang Rayo Vallecano, Ahad lalu.

Walaupun gagal menemui sentuhan penyudah dalam keputusan seri tanpa jaringan di Camp Nou itu, ketua pasukan Poland tersebut menyaksikan rembatan dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) selain satu lagi percubaannya terkena palang.

Barca mengintai untuk merampas semula gelaran LaLiga musim ini setelah kali terakhir dimahkotakan pada 2018-19, malah mereka menamatkan 13 mata di belakang juara musim lalu, Real Madrid.

Kini sudah 16 bulan sejak The Blaugrana menikmati kejuaraan terakhir; jaringan Lionel Messi memberi inspirasi kepada mereka untuk menang 4-0 ke atas Athletic Bilbao dalam final Copa del Rey 2021.

Begitupun, Lewandowski yakin ia hanya menunggu masa sebelum penantian itu berakhir.

“Saya rasa sudah terlalu lama untuk Barcelona tidak memenangi gelaran,” katanya menerusi petikan yang dilaporkan di Marca.

“Saya yakin kami akan memenangi gelaran.

“Apabila saya mula-mula tahu bahawa Barcelona berminat untuk membawa saya masuk, setiap saat saya fikir kini adalah masa yang sesuai, untuk saya dan juga kelab.

"Saya tidak mahu beraksi dalam satu liga sahaja sepanjang hidup ini. Dalam Bundesliga, semuanya berjalan lancar, ia adalah pengalaman yang baik buat saya tetapi saya tahu karier ke LaLiga membawa saya selangkah ke depan."

Lewandowski berharap dapat membuka akaun jaringan golnya bersama apabila pasukan kendalian Xavi itu bertandang ke Real Sociedad, Isnin depan.