Robert Lewandowski sedang menikmati permulaan karier yang cemerlang di Barcelona tetapi bergelut ketika berdepan bekas kelab, Bayern Munich, dalam Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Emosi kembali ke Bavaria membuatkan penyerang yang biasanya prolifik itu terlepas beberapa peluang menarik ketika kelab Catalan berkenaan tumbang 0-2 di Allianz Arena.

“Sudah tentu saya mahu menewaskan Bayern. Dan saya juga mahu menjaringkan gol tetapi apabila anda bercakap tentang perasaan, anda tidak boleh mengetepikannya sepenuhnya kerana masih bukan terlalu lama sejak saya meninggalkan Bayern.

“Perlawanan itu merupakan cabaran besar buat saya. Mustahil untuk saya menghentikan segala perasaan tersebut. Ia melebihi kesukanan, bagi saya ia adalah perlawanan emosi.

“Saat yang paling emosional? Sebaik sahaja anda memasuki stadium. Walaupun ia adalah perasaan yang aneh untuk pergi ke bilik persalinan lain dan memanaskan badan di kawasan lain," katanya.





Begitupun, ketua pasukan Poland itu menganggap ia tetap satu pengalaman yang boleh diteladani menjelang perlawanan timbal balik peringkat kumpulan di Camp Nou, hujung bulan depan.

“Perlawanan menentang Bayern adalah satu pengajaran buat kami. Sebelum kami memulakan permainan, kami tidak jangka mampu menerapkan taktik kami dan kami mencipta banyak peluang. Sekarang kami tahu kami boleh melakukannya,” jelasnya.

“Perlawanan ini menunjukkan bahawa kami boleh melakukannya dan mencipta peluang dalam perlawanan yang sukar. Memang benar kami melakukan kesilapan. Tetapi sejujurnya, kami berhak menang menentang Bayern atau, sekurang-kurangnya, seri.”