Perenang negara, Khiew Hoe Yean, gagal menempatkan diri ke final acara kuak lentang 200 meter lelaki Sukan Komanwel 2022 selepas menamatkan saingan separuh akhir di tempat keempat.

Berada di lorong keenam, Hoe Yean pada awalnya dapat memberikan saingan kepada Jay Lelliot, Mitchel Larkin dan juga Joshua Edward.

Bagaimanapun pada jarak 100m terakhir, perenang negara itu sedikit ketinggalan dan pada jarak 50 meter terakhir, dia hampir berjaya memintas Lelliot namun akhirnya dia terpaksa akur tewas bagi melayakkan ke final.

"Secara keseluruhan cukup baik, bersaing dengan barisan perenang terbaik dunia merupakan pengalaman yang baik untuk saya dan mahu kembali berlumba dengan mereka pada masa akan datang," kata Hoe Yean.

Sementara itu, kempen Bryan Leong dalam acara 50m gaya bebas lelaki menemui jalan penamat di pusingan saringan.

Menamatkan aksi saringan ketujuh dengan catatan 23.64s, Bryan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Mengungguli saingan itu adalah Benjamin Proud dari pasukan tuan rumah dengan catatan 22.44s, tempat kedua pula milik Lamar Taylor dari Bahrain sementara wakil negara jiran, Singapura meraih tempat ketiga menerusi Tzen Wei dengan catatan 22.62s.