Kuartet 4x100 meter negara mempunyai alasan tersendiri untuk berbangga dengan pencapaian yang dilakar dalam Sukan Perpaduan Islam sungguhpun menamatkan saingan akhir di tempat keenam dengan catatan 39.46 saat, awal pagi tadi.

Gandingan baru itu dibentuk khas untuk temasya kali ini berikutan ketiadaan dua pelari daripada kuartet asal, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Muhammad Zulfiqar Ismail, yang menjadi tonggak utama kejayaan meraih pingat perak Sukan SEA Hanoi untuk melakar rekod baru kebangsaan.

Pengganti kepada dua pelari tersebut, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa, berasakan di sebalik persiapan singkat melibatkan persediaan ke saingan di Turkiye itu, peningkatan prestasi yang dipamerkan mereka mampu menjadi panduan bahawa acara itu mempunyai masa depan cerah.

"Hari semalam kami melakukan 39.90s dan hari ini pula kami dapat perbaiki catatannya.





"Kami tidak letakkan sasaran utama dalam larian kali ini selain catatan masa.

"Pelari Malaysia pun kuat jadi harapan saya kami dapat memenangi 4x100m Sukan SEA tahun depan.

"Pasukan ini mempunyai ramai pelari yang mampu melakukan catatan sekitar 10.40s jadi kehadiran mereka boleh mengukuhkan kuartet ini," kata Khairul Hafiz.

Menurut Jonathan Nyepa pula: "Baru dua kali berlari, catatan kami mempamerkan peningkatan pesat dan kalau kekal seperti untuk pertandingan akan datang, memang akan banyak berkembang."