Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap dengan pendirian untuk mengekalkan senarai akhir kuartet 4x100 meter wanita negara menjelang Sukan SEA Hanoi pada Mei depan.

Ia bermakna, Malaysia akan diwakili Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, S. Komalam Shally dan Nor Sarah hadi dalam temasya edisi ke-31 itu.

KOM turut menjelaskan bahawa sebarang pencapaian yang dilakukan selepas tarikh pendaftaran terakhir pada 11 Mac lalu tidak boleh diambil kira, sekali gus menutup peluang buat pelari muda, Fatin Ilyana Mat Nayan, untuk mewakili negara di Vietnam.

Sebagai rekod, pelari kelahiran Kedah itu merakamkan catatan masa 11.97 saat ketika memenangi pingat gangsa Kejohanan Olahraga KL All-Comers minggu lalu.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata: "11 Mac merupakan tarikh akhir yang ditetapkan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk mendaftarkan atlet.

"Pada 5 dan 6 Mac, ada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di MSN (Majlis Sukan Negara) Bukit Jalil dan di situ kami telah melakukan pemilihan dan telah menyenaraikan lebih kurang tujuh nama bagi kuartet ini.

"Kami sudah memilih lima yang terbaik dan maksudnya, kami kini tidak boleh mengambil kira catatan masa terbaru kerana tarikh tutupnya telah ditetapkan pada 11 Mac lalu.

"Ini kerana kami mengikuti peraturan yang ditetapkan, itu sahaja.

"Saya berharap semua atlet dapat memahami perkara ini, kami bukannya sengaja menolak sesiapa atau memilih atlet yang kami mahukan," katanya.