Thailand merampas status 'raja pecut Asia Tenggara' daripada Malaysia selepas atletnya, Puripol Boonson, memenangi pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi.

Malaysia mendominasi acara reben biru itu dalam dua edisi lalu, di mana Khairul Hafiz Jantan memenangi pingat emas di Kuala Lumpur pada 2017 sebelum Haiqal Hanafi mempertahankannya di Filipina pada 2019.

Bagaimanapun, Nasib jelas tidak menyebelahi Malaysia sejak daripada pusingan saringan edisi kali ini.

Arsyad Md Saat layak ke final selaku peserta ketiga terpantas dalam saringan petama tetapi dia mengalami kecederaan paha sejurus tamat saingan itu.

Dalam saringan kedua pula, harapan pingat emas, Azeem Fahmi, dibelenggu kontroversi 'false start', sekali gus dibatalkan penyertaan.

Arsyad jelas tidak dapat beraksi di tahap terbaik dalam final disebabkan kecederaan itu dan hanya menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa 10.69 saat.

Puripol memenangi emas dengan catatan 10.44s manakala rakan senegaranya, Soraoat Dapbang (10.56s), memenangi perak.

Pingat gangsa pula dimenangi wakil Singapura, Marc Brian Louis, dengan 10.56s.