Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim, menegaskan tiada istilah berpuas hati dalam kem itu.

Seolah-olah masih berpegang kepada janji 10 pingat emas dalam kenyataan awalnya sebelum ini, Shahidan tidak menafikan bahawa dia sebenarnya mengharapkan sesuatu yang lebih luar biasa dalam Sukan SEA Kemboja.

Lima emas, tiga perak dan 12 gangsa dalam temasya serantau itu bagi Shahidan belum cukup untuk buat dia tersenyum puas, tetapi jumlah medal gangsa daripada majoriti atlet muda ibarat petanda baik buat kontinjen Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Mana saya dapat berpuas hati, kalau 12 emas saya puas hatilah.

"Kami dapat lima emas campur tiga sasaran yang tidak dapat itu selain potensi dua emas lagi, kami sudah begitu hampir mencapai 10 emas tapi saya masih tidak berpuas hati.

"(Apa pun) saya tetap bersyukur tidak kira berapa banyak emas yang dimenangi kerana usaha gigih dalam masa pendek (singkat) ini, kami tetap beroleh kejayaan.

"Saya cuma sambung usaha rakan yang lalu dan tingkatkannya.

"Setelah melalui proses latihan, kami boleh menghampiri angka 10.

"Apabila kita serius dalam aspek pembangunan, kami dapat ketengahkan atlet muda dan dapat 11 gangsa.

"Sudah pasti kami akan teruskan pembangunan atlet dan kami mahu berikan perhatian kepada setiap atlet," katanya di Nadi Weekend.