Pelari negara, Umar Osman, mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara 400 meter dalam Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh sebentar tadi.

Atlet berusia 20 tahun itu muncul pelari terpantas selepas menuju ke garisan penamat dengan catatan masa 46.34 saat untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Wakil Filipina, Umajesty Williams, memenangi pingat perak dengan 46.52s manakala rakan senegaranya, Frederick Ramirez, memenangi gangsa dengan 46.63s.

Kejayaan Umar itu turut menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan milik Zaiful Zainal Abidin, yang sebelum ini bertahan selama 21 tahun.

Zaiful sebelum ini memegang rekod berkenaan selepas melakukan catatan 46.41s dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 2001.