Emas pertama Sukma 2022 dimiliki atlet berbasikal dari Johor, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, dalam acara ujian masa perseorangan wanita jarak 29.7 kilometer, hari ini.

Adibah menamatkan ujian masa dengan catatan terpantas iaitu 44 minit 25.801 saat manakala naib juara adalah Nyo Ci Hui dari Perak (45:52.607 saat), diikuti atlet Terengganu, Siti Nur Alia Mansor (46:25.155s).

Adibah meluahkan rasa puas meraih pingat setelah penantian enam tahun untuk kembali beraksi di pentas Sukma.

Kali terakhir penampilan Adibah di Sukma pada 2016 di mana dia meraih perak dalam acara basikal bukit (MTB) individu dan berpasukan.

"Saya memang dah sasar lama untuk dapat emas, jadi hari ini, hari yang ditunggu-tunggu saya hanya fokus pada rancangan dan buat yang terbaik,” katanya.

Tuah skuad berbasikal Johor tidak henti di situ apabila Muhammad Nuraiman Rosli menyumbangkan emas kedua dalam acara ujian masa perseorangan lelaki.

Aiman mencatatkan masa terpantas 53 minit 08.865s meninggalkan Kee Zhe Yi di tempat kedua dan pelumba Perak, Muhammad Yusri Shaari ketiga.