JUVENTUS 0 VILLARREAL 3
(Villarreal ke suku akhir dengan agregat 4-1)


Juventus tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat musim ketiga berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Villarreal dalam aksi timbal balik di laman sendiri awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Sepanyol tiga minggu lalu dan Juve kelihatan menjadi pasukan pilihan untuk ke suku akhir dengan kelebihan beraksi di Stadium Allianz.

Bagaimanapun, Villarreal bimbingan Unai Emery mempamerkan aksi sensasi sepanjang 12 minit terakhir untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir bermula dengan sepakan penalti Gerard Moreno pada minit ke-78, disusuli penyudah jarak dekat Pau Torres pada minit ke-85 dan satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Arnaut Danjuma dalam waktu kecederaan.

Lebih mengecewakan, rekod 12 perlawanan tanpa kalah pasukan tuan rumah kendalian Massimiliano Allegri itu turut musnah dengan kekalahan berkenaan.