BAYERN MUNICH 2 BARCELONA 0

Xavi berasakan Barcelona merupakan pasukan yang lebih baik ketika tewas 0-2 kepada Bayern Munich dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Arena Allianz awal pagi tadi.

Barca mempamerkan lebih penguasaan sepanjang babak pertama perlawanan peringkat Kumpulan C itu tetapi gagal menyudahkan mana-mana peluang yang dicipta mereka.

Bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski, memperoleh lima peluang di depan gawang tetapi segalanya kelihatan tidak menjadi.

Selepas itu, dua gol yang dijaringkan Bayern dalam tempoh empat minit pada awal babak kedua mengubah arus perlawanan itu, di mana Lucas Hernandez dan Leroy Sane menemui sasaran, masing-masing pada minit ke-50 dan 54.

Ia memberikan kekalahan kesembilan Barca sepanjang bertemu Bayern di peringkat UCL dan ia sekali ganda lebih banyak berbanding kekalahan kepada mana-mana pasukan lain (empat kekalahan kepada AC Milan, Paris Saint-Germain dan Chelsea).

Kekalahan di Bavaria itu merupakan yang pertama buat Barca sepanjang tujuh perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini tetapi Xavi tidak berasakan keputusan perlawanan itu telah menceritakan kisah sebenar di atas padang.

"Kami pasukan yang lebih baik daripada Bayern hari ini," katanya kepada Movistar+.

"Kami terlalu cepat berputus asa tetapi mereka tidak seperti itu -- itulah perbezaannya.

"Kami mempunyai enam atau tujuh peluang terhidang. Gol pertama mereka hadir daripada kesilapan kami sewaktu sepakan penjuru; yang kedua juga terhasil daripada kesilapan kami.

"Aksi dalam babak pertama hari ini jelas milik kami dan keputusan ini tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Apabila anda mengalah, anda akan menerima padahnya," katanya lagi.