Legenda pecut negara, Watson Nyambek, mengucapkan tahniah atas kejayaan pelari muda, Azeem Fahmi, memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia awal pagi tadi.

Watson merupakan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter selama 18 tahun dengan catatan 10.30 saat yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam pada 1998.

Rekod itu kemudian dipecahkan Khairul Hafiz Jantan dalam Sukan Malaysia Sarawak pada 2016 dengan catatan 10.18 saat.

Azeem, dalam pada itu, melakukan larian dengan catatan masa 10.09 saat ketika mengungguli saringan kelapan di Cali, sekali gus muncul pemegang rekod baru pada usia 18 tahun.

Watson ketika ditemu bual Nadi Arena, mengucapkan tahniah buat pencapaian Azeem dan berharap pelari muda itu dapat diberikan lebih pendedahan di pentas tertinggi dan menyimpan impian untuk melihatnya beraksi dalam Sukan Olimpik satu hari nanti.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Azeem dan jurulatihnya kerana berusaha keras untuk memecahkan rekod kebangsaan.

"Saya rasa dia mampu melakukan catatan yang lebih baik daripada itu.

"Jadi, saya berharap pada masa akan datang, dia harus menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf dunia agar dia dapat belajar dan juga mewakili negara dalam Sukan Olimpik nanti.

"Tahniah saya ucapkan," katanya.