BARCELONA 0 RAYO VALLECANO 0

Ketua jurulatih Barcelona, Xavi, menuntut kesabaran daripada penyokong pasukan itu selepas terikat tanpa jaringan dengan Rayo Vallecano dalam perlawanan pembukaan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.

Pasukan tuan rumah itu mendominasi permainan tetapi kerap membazirkan peluang di bahagian serangan, di mana mereka hanya melakukan enam percubaan tepat daripada keseluruhan yang dihasilkan sambil dua jaringan mereka dibatalkan penjaga garisan.

Ia menyaksikan rekod hambar Barca tanpa jaringan dan kemenangan dalam LaLiga diheret kepada tiga perlawanan berturut-turut sejak musim lalu -- kali pertama kelab itu berdepan situasi berkenaan sejak Oktober 2023.

Selepas seminggu yang mendebarkan, Barca akhirnya dapat mendaftarkan pemain baru mereka seperti Robert Lewandowski, Raphinha, Andreas Christensen dan Franck Kessie, di mana kesemua mereka melakukan penampilan pertama dalam aksi terbaru itu tetapi kehambaran persembahan mereka membuktikan masih banyak yang perlu diusahakan Xavi.

Barca masih belum dapat mendaftarkan seorang lagi pemain baru, Jules Kounde, yang ditandatangani daripada Sevilla dan terus dikaitkan dengan beberapa pemain lain sebelum jendela perpindahan ditutup awal bulan depan dan Xavi menuntut kesabaran daripada penyokong mereka untuk terus mempercayai proses yang sedang dilalui kelab itu.

"Kami mahu menunjukkan kepada mereka bahawa kami berada di landasan yang betul kerana kami telah menunjukkan jangkaannya tetapi ia hanya permulaan.

"Kami menuntut kesabaran dan mahu semua orang percaya dengan kelab ini.

"Ia satu kekecewaan hari ini kerana ia satu permulaan dan kita perlu terus percaya dengan model permainan ini yang telah membawa kejayaan kepada kita.

"Kerana jangkaan yang telah dihasilkan, saya fikir pasukan ini akan menjadi lebih tertekan.

"Saya cuba memberitahu mereka bahawa tekanannya adalah kepada saya, untuk jurulatih.

"Tetapi Rayo telah melakukan tugas secara taktikal dengan amat bagus. Penalti tidak menghasilkan gol. Kami perlu terus berkembang," katanya.

Barcelona seterusnya akan bertandang ke laman Real Sociedad hujung minggu depan.