ATLETICO MADRID 1 OSASUNA 0

Diego Simeone percaya zaman Barcelona dan Real Madrid menguasai LaLiga sudah berakhir selepas tamatnya era MSN dan BBC di kelab masing-masing.

Atletico Madrid meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Osasuna dalam aksi liga awal pagi tadi, di mana Felipe menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-87 di Wanda Metropolitano.

Keputusan itu melonjakkan mereka untuk kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga ketiga, Madrid, tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, sambil hanya dibezakan dua mata dengan dua pasukan teratas, Sevilla dan Real Sociedad.

Osasuna memberikan saingan sengit buat Atletico sepanjang perlawanan itu dan Simeone berasakan ia merupakan satu bukti bahawa saingan LaLiga kini lebih kompetitif dan yakin era penguasaan dua pasukan gergasi, Barca dan Madrid, sudah berakhir.

"Ia menyukarkan kami kerana LaLiga amat kompetitif, tidak ada banyak perbezaan antara setiap pasukan" katanya kepada wartawan.

"Era MSN di Barca dan era BBC di Madrid sudah tamat. LaLiga kini amat kompetitif buat semua orang."

Pada satu tahap, Atletico kelihatan akan dikecewakan Osasuna, yang kelihatan hampir pasti meraih satu mata.

Kemenangan pada lewat permainan itu benar-benar memberikan kepuasan buat pertahanan Atletico, Mario Hermoso, yang percaya ia merupakan satu keputusan positif menjelang aksi penting Liga Juara-Jara Eropah (UCL) menentang AC Milan, di mana mereka perlu memenangi perlawanan itu untuk layak ke pusingan kalah mati.

"Kemenangan kali ini memberikan rasa berbeza," kata Hermoso.

"Apabila anda mencuba dan terus mencuba, berdasarkan apa yang anda percaya, dengan apa yang jurulatih mahukan, atas apa yang anda yakin dan berusaha sepanjang minggu, lambat laun pencariannya akan berakhir.

"Tiada apa lebih baik berbanding dapat menjaringkannya pada waktu seperti itu dengan dorongan penyokong dan terutama menjelang perlawanan 'final' yang akan kami hadapi Rabu (awal pagi Khamis) ini," katanya.